suria

Kerajaan Cadang Tubuh PSC Hak Asasi

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menubuhkan jawatankuasa khas di bawah Parlimen bagi membincangkan mengenai pelbagai isu berkaitan hak asasi manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jawatankuasa khas berkenaan dilihat berupaya memastikan isu hak asasi manusia yang diperjuangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapat pembelaan yang sewajarnya.

"Isu hak asasi manusia adalah sangat penting. Saya tak fikir (cadangan bincang) sehari laporannya (di Parlimen)sahaja...kemudian apa?

"Jadi kita perlu bentuk (jawatankuasa khas) supaya perkara ini tidak dibincang sehari sahaja. Tetapi perlu diteruskan sebagaimana PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) bincangkan laporan audit," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mencadangkan agar Perlimen memperuntukkan tempoh khusus bagi membincangkan mengenai laporan yang dibangkitkan Suhakam.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, jawatankuasa berkenaan itu akan dianggotai oleh beberapa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

"Jawatankuasa tetap ini akan terdiri daripada beberapa ahli Parlimen. Mereka boleh adakan persidangan untuk pastikan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu boleh diperjuangkan," katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap anggota Suhakam yang dilihat menyebelahi pembangkang, Mohamed Nazri berkata, kerajaan terbuka mengenai perkara tersebut malah sedia menerima kritikan daripada badan hak asasi manusia itu.

Selain itu Mohamed Nazri berkata, berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mana-mana anggota, pegawai dan pekhidmat Suhakam mendapat pembelaan dan perlindungan daripada kerajaan.

"Seksyen 18(1) menyatakan tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding boleh dimukakan dalam mana-mana mahkmah terhadap suruhanjaya atau mana-mana anggotanya berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dilakukan olehnya dengan syarat pada masa itu dia menjalankan fungsinya dengan suci hati," katanya.

Artikel Lain