suria

Kadar Pendapatan Seisi Rumah Untuk Layak Pohon RMR Baru Dinaikkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menimbangkan cadangan menaikkan kadar pendapatan bulanan seisi rumah RM5,000 ke bawah untuk layak memohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) memandangkan kadar yang ada pun masih baharu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata kajian semula kadar pendapatan bulanan seisi rumah program RMR baru sahaja dilaksanakan pada Februari 2012 di mana keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah layak memohon berbanding RM1,500 ke bawah sebelum itu.

Golongan yang mempunyai pendapatan bulanan RM5,000 seisi rumah dan ke bawah mempunyai pelbagi peluang untuk membangunkan rumah kediaman masing-masing melalui pemaju hartanah swasta serta mampu mendapat pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan, katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) pada persidangan Dewan Rakyat Selasa.

"Kerajaan juga memberi peluang kepada golongan berpendapatan bulanan RM6,000 seisi rumah ke bawah untuk memohon pembelian rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)," katanya bagi menjawab soalan Mohamad Shahrum yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menaikkan kadar kelayakan pendapatan isi rumah kepada RM5,000 ke bawah untuk memohon RMR bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

Program RMR dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak tahun 2002 bagi membantu golongan berpendapatan rendah membina rumah di atas tanah sendiri di seluruh negara. Ia pada awalnya dibuka kepada warganegara Malaysia yang memiliki pendapatan seisi rumah bulanan di bawah RM1,000. - BERNAMA

Artikel Lain