suria

Jangan Terlalu Berpolitik Dalam Parlimen - Abu Zahar

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menasihati anggota-anggota Parlimen supaya jangan hanya berpolitik semasa persidangan tetapi hendaklah juga bertanggungjawab dalam meningkatkan martabat Dewan.

Beliau mengingatkan semua anggota Parlimen agar tidak terlalu mengikut sentimen dan emosi ketika berhujah tetapi hendaklah menyuarakan pandangan masing-masing secara profesional.

"Apabila kita (anggota Parlimen) dilantik, lupakanlah politik itu sementara... politik letak di luar, dalam Dewan marilah jawab soalan untuk memperelok martabat Ddewan supaya rakyat dapat menikmati kesejahteraan.

"Jangan ikut emosi hingga menampakkan kurang ketamadunan dan tidak menghormati Dewan meskipun kita bebas menyuarakan pandangan dan kemukakan pendapat," katanya pada pelancaran buku tulisan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib berjudul "Mr.Speaker, Sir: From Kampung Boy to the Helm of Parliament" ("Tuan Yang Dipertua: Daripada Seorang Budak Kampung Sehingga Menjadi Peneraju Parlimen").

Buku berbentuk memoir itu menceritakan kisah hidup Ramli sejak zaman kanak-kanak serta aspek perlembagaan dan perundangan berhubung sistem demokrasi berparlimen. Ia dijual pada harga RM40 senaskhah untuk kulit lembut dan RM60 untuk kulit keras.

Abu Zahar berkata senario di Dewan Rakyat hari ini amat berbeza berbanding ketika zamannya sebagai anggota Parlimen yang menyaksikan setiap anggota Parlimen menghormati persidangan walau berbeza parti.

"Dahulu ketika saya menjadi anggota Parlimen, semua pihak termasuk pembangkang amat menghormati Tun Dr Mohamed Zahir Ismail yang merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu. Apabila ditegur, semua akan diam dan duduk tetapi saya hairan kerana sekarang sudah amat lain," katanya.

Beliau meminta anggota Parlimen mencontohi amalan yang digunapakai dalam Parlimen di Jepun yang mengutamakan ketertiban dan kesopanan meskipun bebas dalam berhujah.

Sementara itu, Ramli turut menegur anggota Parlimen yang sering mencampur adukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris, kerana menurutnya, hanya akan mencemarkan kedua-dua bahasa dan lebih sukar difahami serta kurang sempurna didengar. - BERNAMA

Artikel Lain