suria

Iklan Keliru, Palsu Diambil Tindakan Undang-Undang Mulai 1 Jan Depan - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun hadapan sebarang iklan mengelirukan atau palsu disiarkan dalam media cetak atau elektronik, pengiklannya boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

"Bagi pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan di sini, Isnin.

Ismail Sabri berkata, butiran mengenai tindakan ke atas pengiklan terkandung dalam garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengiklanan berikutan pindaan terhadap Bahagian XIA, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.

"Pindaan itu adalah bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan palsu atau mengelirukan bertujuan melindungi pengguna daripada tertipu dengan iklan-iklan tersebut.

Sebanyak 38 kes aduan mengenai iklan telah kami terima setakat hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa pengiklanan tersebut mendapat kerjasama daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya serta dianggotai beberapa ahli akademik dengan dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Sumber Maklumat, Dr Zuraidi Ishak.

"Jika iklan berkaitan dengan produk kesihatan, kami akan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan. Kami hanya menguruskan iklan produk atau perkhidmatan yang mengelirukan dan bertujuan menipu pengguna," katanya.

Beliau berkata Garis Panduan iklan tersebut akan mengawal selia pengiklan terdiri daripada pemilik barang atau perkhidmatan, agensi pengiklan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha penyiaran iklan melalui media cetak atau elektronik.

"Garis panduan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengguna dalam mengenal pasti kandungan iklan palsu atau mengelirukan, selain sebagai rujukan kepada pengiklan agar bertanggungawab sepenuhnya terhadap iklan mereka.

"Iklan yang akan disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata perkara yang dilarang seperti dakwaan penyembuhan terhadap penyakit-penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal juga diterangkan dalam garis panduan itu.

"Beliau berkata kriteria-kriteria turut diambil kira apabila menyatakan terma-terma dan syarat dalam iklan seperti penggunaan bahasa yang ringkas, saiz dan font yang jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan bilboard," katanya.

Menurut Ismail Sabri, buku garis panduan itu akan diedarkan kepada orang ramai mulai hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain