suria

Selangor Digesa Segerakan Projek Mitigasi

KUALA KUBU BARU: Kerajaan Selangor digesa mempercepat pelaksanaan Projek Mitigasi 2 untuk mengoptimumkan pengeluaran air terawat dan menggelak berlakunya krisis air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua berkata, projek Mitigasi 2 dapat meningkatkan kapasiti air terawat yang diagihkan kepada pengguna dan menampung peningkatan permintaan sebanyak 3.5 peratus setahun.

"Sehingga 2016, loji-loji rawatan air di Selangor masih mempunyai baki kira-kira 390 juta liter kapasiti air belum guna yang boleh disalurkan kepada pengguna pada bila-bila masa.

"Diharapkan kerajaan negeri dapat mempercepatkan projek ini supaya keupayaan untuk membekalkan air kepada pengguna tidak terjejas," katanya.

Teo ditemui pemberita selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai isu-isu air Selangor, di Empangan Sungai Selangor, di sini.

Muhyiddin juga dijadual melawat tiga lagi loji rawatan air di Hulu Langat.

Projek Mitigasi 2 melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3), dengan kos RM606 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek mitigasi untuk memastikan pengguna-pengguna di kawasan kritikal tidak berhadapan krisis air menjelang 2016.

Projek-projek itu apabila siap kelak dijangka akan dapat mengoptimumkan pengeluaran air kepada 4,581 JLH (juta liter sehari), berbanding pada masa kini sebanyak 4,400 JLH dan memanfaatkan pengguna antaranya sekitar Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, USJ, Klang dan Kepong.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan, projek mitigasi Fasa 1 kini sedang dijalankan manakala projek mitigasi 2 sedang dalam proses mendapatkan konsultan dengan tender sudah dikeluarkan dan dijangka siap pada Mac 2013 atau selewat-lewatnya Jun 2013.

Menurut Teo, pelan mitigasi hanya langkah penyelesaian sementara isu air di Selangor, dan menegaskan negeri itu perlu mendapatkan sumber baru, termasuk projek terowong air Pahang-Selangor, bagi mengelak berlakunya krisis air selepas 2016 di negeri ini.

Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Baru merupakan kawasan tadahan terakhir di Selangor dengan kapasiti penuh 230 juta liter padu.

Kapasiti empangan itu kini berada pada tahap 56 peratus. - BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain