suria

Perompak Tebuk Pintu Kebal Guna Gas-Oksi Larikan RM176,000

SHAH ALAM: Sekumpulan perompak memecah masuk sebuah bank di Kota Damansara, dekat sini dan menebuk pintu kebal bank itu menggunakan gas-oksi sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM176,000.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata dalam kejadian itu yang dipercayai berlaku semalam dan disedari pihak bank pada awal pagi tadi sebelum membuat laporan pukul 7.53 pagi.

Beliau berkata kumpulan perompak terbabit memasuki bank itu melalui lubang pembuangan sampah di belakang premis sebelum menuju ke bilik kebal bank dan menebuk lubang pintu menggunakan gas-oksi yang mengeluarkan api bersuhu tinggi.

"Kita percaya ia dilakukan oleh mereka yang mahir berdasarkan peralatan mesin penggerudi dan gas-oksi berkenaan selain sudah biasa dengan keadaan dalam bank itu.

"Polis telah mendapatkan rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) bank terbabit untuk siasatan lanjut. Ketika kejadian tiada pengawal keselamatan bertugas" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah memberitahu, laporan bedah siasat terhadap seorang wanita yang dipercayai dibunuh di rumahnya di Pangsapuri Kiambang, Taman Bukit Subang pada 13 Okt lepas mendapati mangsa mati akibat dicekik.

Beliau berkata siasatan mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suaminya pada hari kejadian.

"Berdasarkan laporan bedah siasat, dakwaan bahawa mangsa mati akibat terjatuh di bilik air adalah tidak benar," katanya.

Mohd Adnan berkata tempoh reman ke atas suami mangsa yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini, dilanjutkan dan kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. -BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain