suria

Pemuda Gerakan Buat Laporan Polis Berhubung Kerugian Projek Balak

ALOR SETAR: Pemuda Gerakan Kedah membuat laporan polis terhadap kerajaan negeri Kedah berhubung projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea yang mengalami kerugian seperti didedahkan Ketua Audit Negara dalam laporannya baru-baru ini.

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat perkara tersebut untuk merungkai kebenaran demi nama baik negara.

Beliau berharap kes ini akan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku kepada rakyat negeri ini kerana projek ini mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan negeri Kedah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, Isnin.

Sebelum ini, Tan meminta Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi penjelasan berhubung projek itu yang mengalami kerugian RM13.49 juta berdasarkan laporan Ketua Audit Negara berhubung projek itu tahun lepas.

Tan juga kesal dengan sikap berdiam diri kerajaan negeri Kedah selepas seminggu isu itu dibangkitkan pelbagai pihak memandangkan isu pinjaman wang oleh kerajaan Kedah untuk menjalankan projek perladangan dan pembalakan di Papua New Guinea itu adalah serius.

"Biar polis siasat dulu kes ini. Sekiranya perlu, polis boleh rujuk kes tersebut kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Tan berkata beliau menaruh harapan tinggi kepada polis untuk menyiasat kes tersebut dan berharap kerajaan negeri dan menteri besar memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain