suria

Pembangkang Timbulkan Kebimbangan Jenayah Demi Politik

KUALA LUMPUR: Sikap pemimpin pembangkang yang secara berterusan menggambarkan kononnya kadar jenayah di negara ini semakin membimbangkan menjadi penyumbang kepada wujudnya persepsi negatif dan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, sikap tidak bertanggungjawab pembangkang bagi mencetuskan kebimbangan dan ketakutan terhadap jenayah itu dibuat semata-mata demi kepentingan politik.

"Tengoklah cara Ipoh Barat (Kulasegaran) yang uar-uarkan kononnya negara kita tidak selamat.

"Dakwaan yang mengatakan kita manipulasi angka-angka dan laporan kadar jenayah adalah tidak benar. Laporan yang dibuat menggunakan sistem komputer tidak boleh dimanipulasi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mendakwa bahawa kadar jenayah di negara ini semakin serius serta polis berada dalam situasi penafian apabila memanipulasi laporan mengenai rekod jenayah.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) mengenai isu yang sama, Abu Seman berkata kerajaan sentiasa mempertingkatkan inisiatif bagi mengurangkan kadar jenayah.

"Masih ada lagi di kalangan masyarakat yang fikir bahawa negara kita tidak selamat. Apa yang saya nak tegaskan ialah kerajaan telah mengambil beberapa usaha dan pendekatan bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

"Ini terbukti apabila sebuah badan bebas antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang selamat. Malah Malaysia diletakkan di kedudukan ke-20 daripada 163 negara bagi kajian Indeks Keamanan Global (GPI)," katanya.

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain