suria

Kerajaan Kedah Perlu Jelaskan Kerugian Dialami GLC Negeri

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah perlu memberi penjelasan mengenai kerugian dialami syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri seperti dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata segala ketirisan dan kerugian yang dilaporkan itu tidak boleh ditutup kerana ia melibatkan jumlah yang sangat besar.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah cemerlang dan penyampaian sijil kanak-kanak Tabika Kemas dan Taska Permata peringkat Parliman Alor Setar di sini, Ahad.

Ahmad Bashah berkata perkara turut menjadi isu kerana banyak lagi projek kerajaan negeri juga mengalami kerugian.

Katanya, ini khusus bagi sebuah syarikat yang dibenarkan membuat pinjaman besar untuk menjalankan perniagaan di Papua New Guinea.

"Segala kepincangan ini (seperti dalam laporan audit) mesti diberi penjelasan. Kita mahu kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu dan pegurusan syarikat terlibat dan janganlah berdiam diri," katanya.

"Selama ini mereka menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) berbelanja boros tapi hari ini ternyata mereka sebenarnya yang boros sehingga melibatkan kerugian yang besar. "Saya percaya rakyat akan menghukum kerajaan pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang tetapi sebelum itu kita akan bawa isu kerugian GLC ini ke persidangan Dewan Undangan Negeri pada 20 Nov ini," katanya.

Ahmad Bashah berkata beliau dimaklumkan kerajaan negeri menyalahkan pegawai tadbir negeri (KCS) dalam isu projek perumahan yang rugi seperti dinyatakan dalam laporan Audit Negara.

"Kalau betul pegawai yang bersalah hendaklah diambil tindakan, tetapi Menteri Besar dan kerajaan negeri yang berkuasa mesti bertanggungjawab atas segala kelemahan dan jangan menuding jari kepada orang lain," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini mendedahkan tentang pelaburan projek balak di Papua New Guinea yang merugikan membabitkan syarikat berkenaan meminjam RM135 juta daripada bank, manakala projek penyelenggaraan perumahan awam kos rendah dilaporkan mengeluarkan kontrak dan membuat pembayaran yang meragukan. -BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain