suria

Empat Ditahan Pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM: Empat lelaki ditahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-96 yang berlangsung di Stadium Shah Alam semalam atas beberapa kesalahan termasuk berkaitan dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an, termasuk tiga daripada mereka merupakan penyokong Kelantan, telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 9 di sini untuk siasatan lanjut.

"Selain kes dadah, tiga lagi ditahan berkaitan kes baling botol dan bakar bunga api," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Zahedi berkata walau bagaimanapun perlawanan semalam berlangsung dengan terkawal termasuk tanpa sebarang kejadian gaduh di antara kedua-dua penyokong pasukan yang bertanding.

Katanya lebih 1,000 anggota polis bertugas mengawal keadaan sepanjang perlawanan yang berlangsung lebih 90 minit itu.

Dalam perlawanan yang menarik kira-kira 80,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan muncul juara menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2. BERNAMA

Artikel Lain