suria

Pelampung Tsunami Meletup Ketika Proses Selenggara - Polis

SEMPORNA: Pelampung tsunami yang sedang diselenggara di atas kapal MV Pendamar dipercayai meletup sehingga menyebabkan kematian ketua penyelenggaranya Stig Erik Lyng di sini, Jumaat, kata Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah.

Beliau berkata letupan berlaku ketika Lyng, 53, cuba membuka salah satu skru pada penutup pelampung dengan menggunakan alat 'grinder' dan akibat letupan itu, objek berwarna hitam dilihat terbang keluar dari pelampung itu dan mengenai kepala Lyng.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 pagi di atas kapal di kawasan perairan antara Pulau Mabul dan Pulau Sipadan. Kita difahamkan salah satu skru pelampung berkenaan tidak dapat dibuka secara biasa.

"Jadi, ketika mangsa cuba membuka skru itu menggunakan alat grinder, pelampung itu tiba-tiba meletup," katanya kepada Bernama.

Mohd Firdaus berkata siasatan awal mendapati objek berwarna hitam yang belum dikenal pasti itu terhumban keluar dari pelampung berkenaan akibat letupan itu lalu mengenai kepala mangsa dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya selain kecederaan parah di kepala, tangan kiri mangsa juga patah.

Mengikut kenyataan Jabatan Jabatan Meteorologi Malaysia, kerja menyelenggara pelampung tsunami di Pulau Sipadan kini dihentikan ekoran kemalangan itu. -BERNAMA

Artikel Lain