suria

Siling Sekolah Agama Runtuh, 18 Murid Selamat

GEORGE TOWN: Sebahagian siling di sebuah kelas yang menempatkan 18 murid Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong, di sini runtuh pada Jumaat.

Kesemua murid itu terselamat daripada terkena runtuhan kerana sewaktu kejadian mereka menjalani latihan amali solat di masjid yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal Mohamad Noor Ismail berkata kejadian pada pukul 2.45 petang itu berpunca daripada kayu penyokong utama siling yang telah reput dimakan anai-anai.

"Hasil pemeriksaan kami dapati struktur bumbung sekolah ini tidak lagi selamat diduduki kerana kayu penyokong asas telah dimakan anai-anai dari dalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Noor menasihati pihak pengurusan sekolah supaya menghentikan aktiviti pembelajaran buat sementara waktu dan memusnahkan sarang pembiakan anai-anai kerana bimbang ia merebak ke bahagian kelas lain. Beliau turut meminta para guru dan murid menjauhi kawasan runtuhan sehingga bangunan itu dibaik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi sekolah Abdul Rashid Khalid, 57, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 2005.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai tiga kelas dan hanya memulakan operasi pada waktu petang itu baharu sahaja diubahsuai dua tahun lepas.

Aktiviti pembelajaran akan dipindah ke masjid berhampiran sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain