suria

Kementerian Kesihatan Tamatkan Kontrak Syarikat Gagal Bangunkan Sistem SPPF, SPF

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menamatkan kontrak dengan syarikat yang menjalankan projek Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Farmasi (SPPF) dan Sistem Pengurusan Farmasi (SPF) berikutan kegagalan membangunkan kedua-dua sistem itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Kamarul Zaman Md Isa berkata kontrak dengan syarikat itu ditamatkan pada 17 Jan lepas dan penalti berjumlah RM9.46 juta dikenakan terhadap syarikat terbabit.

"Baki bayaran sejumlah RM1.77 juta juga tidak dibayar kepada syarikat itu. Selain itu, surat tuntutan Bon Pelaksanaan bagi projek ini telah dikemukakan kepada pihak bank," katanya dalam kenyataan setebal 51 muka surat pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Akaun Awam dan Aktiviti-Aktiviti Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun Kerajaan Persekutuan Tahun 2011.

Dalam laporan itu, Audit berpendapat perbelanjaan RM2.59 juta tidak berbaloi kepada kerajaan, dan siasatan lanjut perlu dibuat ke atas status pembekalan peralatan komputer kerana bayaran penuh telah dibuat. Menurut laporan itu lagi, perancangan yang teliti, rapi dan menyeluruh bagi kontrak pembangunan sistem komputer/ICT perlu dilakukan sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

Kamarul Zaman juga berkata Sistem Keperluan Perisian (SRS) yang dihasilkan oleh syarikat itu adalah terlalu umum dan tidak ada pengintegrasian antara proses kerja, menyebabkan program yang disediakan tidak dapat berfungsi.

Beliau turut menjelaskan bayaran berjumlah RM2.59 juta atau 59.43 peratus yang telah dibayar kepada syarikat itu adalah meliputi perkakasan, perisian, pemeteraian perjanjian dan reka bentuk arkitektur sistem.

Berhubung isu bekalan 'reagen' tidak mengikut spesifikasi, beliau berkata kementerian mengambil perhatian serius pelanggaran peraturan kewangan dan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat perkara tersebut.

"Hasil daripada siasatan berkenaan, tindakan tatatertib telah disyorkan ke atas 26 pegawai yang terlibat kerana kecuaian melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain