suria

Hakim Tolak Pengakuan Tidak Bersalah Tujuh Warga Somalia

KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Khamis enggan merekodkan pengakuan bersalah tujuh rakyat Somalia yang dituduh melepaskan tembakan ke arah komando Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas peguam yang mewakili tertuduh mempertikai lokasi sebenar kejadian itu di Teluk Aden pada 18 Oktober tahun lepas.

Hakim Kamardin Hashim, yang dijadual merekodkan pengakuan berkenaan, memerintahkan agar perkara itu didengar di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi lain, tetapi tidak menetapkan tarikh bagi pendengaran kes itu.

"Oleh kerana anda mempertikai fakta kes pada peringkat ini, maka saya tidak akan menerima pengakuan bersalah mereka dan anda perlu menasihati anak guam anda supaya menjalani perbicaraan penuh," kata Kamardin kepada peguam Edmund Bon, yang mewakili tiga juvana daripada kalangan tertuduh.

Beliau berkata mahkamah tidak akan menerima sebarang pengakuan bersalah "secara bersyarat" oleh kerana Edmund menegaskan bahawa isu perundangan akan timbul sekiranya perkara berkenaan dikemukakan dalam rayuan ke Mahkamah Tertinggi.

Terdahulu, Edmund memberitahu mahkamah bahawa pemeriksaan yang dilakukan terhadap dokumen yang diberi kepada pihak pembelaan oleh pendakwa, terutama tentang lokasi kejadian, menunjukkan latitud dan longitud yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan, berbeza sepenuhnya daripada lokasi yang direkod dalam buku log kapal berkenaan dan laporan Siasatan Tempat Jenayah yang disediakan polis.

"Apabila kami membuat pemeriksaan ulangan tentang latitud dan longitud , ia menunjukkan lokasinya adalah satu kawasan darat di India," kata Edmund.

Pada mulanya, rakyat Somalia itu dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat), yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, pada 8 Oktober, pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan kepada mereka mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta sama, yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun atau seumur hidup, jika disabitkan kesalahan.

Tuduhan pilihan itu ditawarkan kepada mereka selepas representasi yang dikemukakan pihak pembelaan untuk mengetepikan (tuduhan awal,) ditolak Pejabat Peguam Negara.

Timbalan pendakwa raya Yusaini Amir Abd Karim memberitahu pemberita bahawa mengikut Seksyen 173 (b) Kanun Tatacara Jenayah, sebarang pengakuan bersalah hanya boleh diterima sekiranya ia tidak dipertikai mana-mana pihak yang terlibat.

"Peguam bela menggesa mahkamah merekodkan bantahan mereka tentang fakta yang terkandung dalam pertuduhan dan hakim mengambil kira perkara yang disyaratkan oleh Kanun Tatacara Jenayah ketika menolak pengakuan bersalah itu," kata Yusaimi.

Sementara itu, Edmund berkata dalam mana-mana kesalahan jenayah, pihak pendakwa perlu menunjukkan lokasi sebenar di mana kesalahan berkenaan dilakukan.

Katanya walaupun beliau menerima tugasan berhubung kes itu daripada mahkamah, tetapi sebagai pegawai mahkamah, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan keadilan dilaksanakan kepada semua pihak, tanpa mengira sama ada mereka adalah rakyat Malaysia atau warga asing.

Pada 20 Januari tahun lepas, ketika komando TLDM menghulurkan bantuan kepada MT Bunga Laurel dalam satu operasi menyelamat, kapal mereka diserang tertuduh dengan menggunakan raifal AK-47 dan pistol. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain