suria

Bunuh Penceroboh Kedai: Dua Beradik Warga Indonesia Ke Tali Gantung

SHAH ALAM: Dua beradik warga Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke kedai mesin slot yang dijaga mereka, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah ke atas tertuduh, Frans Hiu, 22, dan adiknya Dharry Frully Hiu, 20.

Mereka didakwa membunuh R.Khartic, 26, di No:3A, Jalan 4, Taman Sri Sungai Pelek, Sepang, kira-kira pukul 11 pagi pada 3 Disember 2010.

Punca kematian mangsa disebabkan hentakan atau tekanan benda tumpul.

Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamarudin memanggil 15 saksi memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua orang saksi.

Mengikut keterangan saksi sebelum ini, mangsa didapati memecah masuk belakang rumah kedai itu dan cuba memecahkan pintu tetapi tidak berjaya membukanya.

Mangsa kemudian memanjat siling rumah kedai itu tetapi terjatuh masuk ke dalam bilik kedua-dua tertuduh yang ketika itu sedang tidur bersama-sama seorang lagi lelaki tempatan.

Lelaki tempatan yang juga pekerja kedai itu kemudian meninggalkan kedai untuk memaklumkan kepada polis mengenai kejadian ceroboh itu. Dia bagaimanapun tidak menyaksikan kejadian bunuh berkenaan.

Dalam pembelaan mereka, dua beradik terbabit mendakwa mereka hanya ingin mempertahankan diri ketika menangkap mangsa yang menceroboh masuk ke kedai itu.

Selepas berjaya menangkap mangsa, Frans bertindak mencengkam lelaki itu dari belakang sehingga kedua-duanya terjatuh dan mangsa kemudian meninggal dunia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain