suria

APMM Tahan Nelayan Asing Langgar Syarat Memukat Ikan

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Pulau Pinang menahan 17 nelayan negara jiran di kawasan 8.5 batu nautika (kira-kira 16 km) dari Pulau Kendi dekat sini kerana melanggar syarat memukat ikan.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim (II) negeri, Kamaruszman Abu Hassan berkata nelayan terbabit ditahan dalam kawasan rondaan agensi itu pukul 7.15 malam Selasa lepas.

"Seramai 14 orang daripada nelayan itu adalah warganegara Thailand manakala selebihnya rakyat Myanmar dan mereka menggunakan bot zon C untuk kegunaan di laut dalam tetapi melakukan kerja tangkapan ikan kurang 12 batu nautika dari pantai," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Kamaruszman berkata, nelayan terbabit dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Kesemua mereka yang berumur antara 22 hingga 74 tahun itu dibebaskan setelah membayar kompaun.

Dalam kes lain, pihak agensi berkenaan menahan sebuah bot pukat sorong udang pada awal pagi Isnin lepas pada jarak tiga batu nautika dari Tanjung Dawai kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen.

Kamaruszman berkata dua nelayan tempatan berusia 22 dan 23 tahun yang berada dalam bot yang berpangkalan di Sungai Udang, Kedah itu turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah akta sama.

Pada hari yang sama juga, agensi itu menahan sebuah bot di kawasan 2.1 batu nautika dari Tanjong Tokong di sini atas kesalahan mengambil dua pekerja asing, dipercayai warga Indonesia, tanpa permit Jabatan Perikanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain