suria

Anwar: PR P.Pinang Selesai Pembahagian Kerusi Kecuali Satu

GEORGE TOWN: Pakatan Rakyat (PR) telah selesai menentukan pembahagian kerusi sesama mereka di negeri ini kecuali satu sahaja lagi kerusi yang akan ditentukan oleh PAS dan PKR, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya PAS dan PKR masih lagi berbincang siapakah yang akan bertanding di kerusi tersebut, tanpa mahu mendedahkan kerusi manakah yang dimaksudkannya.

“Tetapi apa yang boleh saya sebutkan di sini ialah tidak ada tuntutan bertindih ke atas mana-mana kerusi oleh ketiga-tiga parti komponen PR (PKR, PAS dan DAP) di negeri ini," kata Anwar sambil menambah yang mereka telah bersetuju untuk mengekalkan status quo masing-masing sepertimana pada pilihan raya yang lalu.

Anwar berkata demikian ketika ditemui para pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Komtar di sini, Jumaat.

Daripada 40 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, DAP menang di 29 kerusi, PKR (9) dan PAS (1).

Baki 11 kerusi lagi disandang oleh Umno.

Gerakan dan MCA tidak mempunyai wakil dalam Dewan.

Ditanya, apakah beliau menyokong seandainya DAP berhasrat meletakkan calon Melayu di Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang, Anwar berkata, setiap parti diberi kuasa untuk menentukan pilihan terhadap calon masing-masing.

“Tetapi kepimpinan parti sentiasa memaklumkan perkembangan terkini di antara satu sama lain termasuklah soal calon," kata Anwar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain