suria

Unsur Anarki Dalam Media Digital Semakin Jelas - Kadir Jasin

PETALING JAYA: Unsur anarki dalam media terutama berasaskan Internet di Malaysia dijangka akan menjadi lebih buruk melalui perang siber menjelang pilihan raya umum.

Ia dikhuatiri mengakibatkan pengundi membuat pilihan kerana kekeliruan dan bukan kefahaman, kataTokoh Wartawan Negara Datuk A.Kadir Jasin.

Semasa berkongsi pemerhatian itu dalam wacana "Komunikasi Massa: Antara Demokrasi dan Anarki" di sini, Khamis beliau berkata anarki dalam media digital secara terang-terangan memutar-belitkan fakta dan dalam masa yang sama tidak menghormati hak menjawab (mereka yang dilibatkan).

Katanya unsur anarki dalam media berlaku apabila mereka yang tidak terlatih dalam selok belok kewartawanan, tidak arif mengenai undang-undang berkaitan dan etika kewartawanan serta mentakrifkan kebebasan secara literal, telah melantik diri menjadi 'wartawan'.

"Boleh dijangkakan perang siber ini mungkin memburukkan unsur anarki ini yang akan berlaku dengan lebih hebat dalam masa yang singkat apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan tarikh PRU (pilihan raya umum) ditentukan. "Ini situasi yang perlu diperhatikan oleh pengkaji-pengkaji media, PRU akan datang banyak bukan ditentukan oleh kefahaman, tetapi kekeliruan.

"Ini kemungkinan yang sangat berbahaya apabila orang yang akan keluar mengundi, tidak keluar mengundi atau merosakkan undi kerana kekeliruan," kata Kadir.

Kadir yang juga blogger 'The Scribe A Kadir Jasin' berkata pengendali blog tidak harus menyiarkan komen-komen yang memihak kepada mereka sahaja.

Beliau berkata kewartawanan warga ) di alam siber kini juga sudah dicemari oleh orang politik dan kapitalis.

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, laman-laman blog terang-terangan dimiliki, diilhamkan dan dibiayai parti-parti politik, dan sekaligus memberi gambaran bahawa medium Internet itu diakui berkesan dan mempunyai peluang ekonomi dalam kegiatan itu.

"Dulu tidak ada blogger upahan, sekarang banyak blog yang sudah tidak berkecuali. Dulu nampak anti-establishment atau tidak menyokong pihak berkuasa, hari ini tidak lagi bersikap demikian," katanya.

Kadir ketika menyimpulkan wacananya berkata anarki siber sudah menjadi sebahagian landskap komunikasi massa malah merumitkan industri itu sendiri.

"Hari ini seorang programmer mencipta satu program yang dihakmilikkan, sebaik sahaja disebarkan atau dilancarkan akan ada beratus-ratus atau beribu-ribu orang yang cuba memecahkannya, mereka (ini) juga adalah anarkis alam siber," katanya.

Beliau juga menyimpulkan bahawa ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi memberi kesan dalam pendemokrasian maklumat selain memecahkan monopoli media tradisional dan media arus perdana ke atas maklumat dan pendakyahan (propaganda).

"ICT sudah mula melahirkan generasi tanpa sempadan, tanpa wajah dan terdedah kepada penerimaan berita 'hearsay' atau cakap mulut. Bagi saya ia membimbangkan akibat ketidakcekapan dan ketidak bertanggungjawaban pengguna dan pemilik teknologi," katanya.

Kadir yang ditanya mengenai cadangan penubuhan Majlis Media Sosial, berkata beliau tidak menentang penubuhan majlis itu. "Tubuhlah, kalau hendak buat, saya tidak bangkang. (Tapi jika) hendak kawal media Internet, hampir mustahil sebab sampai sekarang tidak boleh kesan semua pemilik blog, tutup hari ini, esok (timbul) yang baharu," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas wacana itu, Kadir menggesa wartawan supaya memainkan peranan mereka dalam usaha mencegah penyebaran unsur anarki dalam media.

"Wartawan perlu selalu mengingatkan diri agar menulis berdasarkan fakta, selalu membuat kajian dengan banyak membaca dan tidak terlalu bergantung pada kenyataan akhbar dan teks ucapan semata-mata,"katanya.

Katanya wartawan kini lebih seharusnya jauh lebih berpengetahuan dan bijak menggunakan maklumat yang terdapat dalam Internet untuk memberikan artikel yang bermaklumat tepat kepada khalayak.

Kadir yang terkenal dengan gelaran tukang cerita serba boleh, mula melibatkan diri dalam dunia kewartawanan sebagai pemberita kadet di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada tahun 1969.

Setelah itu, beliau berhijrah ke Business Times untuk menceburi bidang kewartawanan ekonomi dari tahun 1976 hingga 1984, dan pernah memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times.

Beliau juga pernah dilantik ke jawatan penolong pengarang kumpulan Berita Harian dan seterusnya pengarang kumpulan itu pada tahun 1986.

Pada tahun 1988, selama 10 tahun, Kadir dilantik sebagai Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan seterusnya Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad dari tahun 1998 hingga 2000.

Kadir kemudian menerajui syarikatnya sendiri yang terlibat dalam penerbitan beberapa majalah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain