suria

Sistem & Organisasi IPGM Perlu Disemak Semula Lahir Pendidik Berkualiti - Muhyiddin

BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan terbaik mampu dicapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

"Saya telah meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara-perkara ini.

"Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja yang kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik," katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di sini, Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud. LAGI

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pada masa yang sama beliau berharap IPGM akan terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru-guru berwibawa dan cemerlang.

Sempena penyerahan KADS1M kepada kira-kira 1,500 siswa IPGM hari ini, beliau turut menyeru supaya penerima menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya dan bukan untuk bermewah-mewah.

"Gunakanlah ia untuk mendapatkan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dilakukan agar setiap sen yang dibelanjakan boleh memberikan hasil yang diharapkan," katanya.

Dengan adanya KADS1M yang menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus di premis-premis perniagaan terpilih, Muhyiddin berkata para siswa akan memperoleh pelbagai keperluan dengan harga yang rendah dan terbaik.

Antara sektor perniagaan yang terlibat ialah buku, alat tulis, pakaian, kesihatan, peruncitan, makanan dan minuman, pengangkutan, produk IT dan produk automotif.

Sehingga kini, sebanyak 231 syarikat (2,414 outlet) termasuk koperasi bersetuju menyertai inisiatif itu bagi membeli barangan dan perkhidmatan terpilih. "Inisiatif yang disediakan ini untuk meringankan beban rakyat serta memastikan generasi muda mendapat kemudahan sewajarnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain