suria

Mayat Lelaki Yang Lemas Di Lombong Tinggal Ditemui

IPOH: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan lemas ketika menjaring ikan di lombong tinggal di Kota Bharu, Gopeng pagi Selasa ditemui terapung di lombong berkenaan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata, mayat Mohamad Suhaimi Harun, 27, ditemui pada pukul 7.15 pagi tadi oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Katanya, kejadian berlaku pada pukul 6.30 pagi Selasa ketika mangsa bersama adiknya pergi ke lombong yang terletak berhampiran dengan rumah mereka untuk menjala ikan.

"Mohamad Suhaimi dikatakan tergelincir ketika menjala ikan di tepi lombong berkenaan lalu tenggelam dan adiknya cuba membantu menyelamatkannya tetapi gagal, lalu dia pulang ke rumah untuk meminta bantuan keluarganya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Katanya, polis telah mengadakan operasi mencari dengan bantuan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sehingga tengah malam tadi mangsa gagal ditemui.

Mayat mangsa kemudian ditemui timbul dipermukaan lombong pagi Rabu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain