suria

Mahkamah Tinggi Taiping, Muar Dan Temerloh Kekal - Ariffin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Taiping, Perak, Muar (Johor) dan Temerloh (Pahang) akan dikekalkan, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Bagaimanapun, beliau berkata badan kehakiman akan memutuskan sama ada hakim perlu ditempatkan secara tetap di mahkamah berkenaan atau berkhidmat sebagai hakim pelawat.

Ariffin mengulas laporan berhubung kemungkinan mahkamah berkenaan ditutup berikutan pindaan Akta Mahkamah Rendah. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk 'Malaysian Rules of Court' di sini, Khamis.

Berdasarkan pindaan itu, Majistret akan mempunyai bidang kuasa mendengar tuntutan sehingga RM100,000. Ketika ini, jumlahnya dihadkan kepada RM25,000.

Bagi Hakim Mahkamah Sesyen, pindaan itu membolehkan mereka mendengar tuntutan sivil sehingga RM1 juta. Ketika ini, bidang kuasa mereka terhad kepada RM250,000 dan ke bawah.

Ini bermakna kebanyakan kes sivil yang kini didengar di Mahkamah Tinggi akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ariffin berkata pada 1 Ogos lepas, hanya terdapat satu set peraturan yang terpakai untuk memfailkan kes sivil di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi di seluruh negara.

"Sebelum itu, peraturan prosedur bagi Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi ialah Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 serta Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980. "Demi kepentingan keadilan dan kecekapan kepada rakyat, kedua-dua set peraturan ini digabung dan peraturan baharu dikenali sebagai Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. "Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ini terpakai kepada kedua-dua Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi.

"Penting untuk disebut di sini dalam urusan penggabungan, beberapa peraturan sedia ada turut mengalami perubahan yang ketara," katanya.

Buku hasil usaha sama LexisNexis dan Majlis Peguam Malaysia itu boleh didapati pada harga RM395.

Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dan Pengarah Urusan LexisNexis Malaysia Bart Sjoerdsma. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain