suria

Lelaki Terjatuh Ketika Berkayak Ditemui Mati Lemas

IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh ketika berkayak di sebuah sungai di Ulu Kinta di sini semalam ditemui mati lemas pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alis berkata, mayat L. Sarithan, 22, berasal dari Silibin ditemui tersangkut di celah batu di sungai berkenaan pada kira-kira 7.30 pagi ini, kira kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan jatuh.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, Sarithan dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika menunjukkan cara-cara berkayak kepada sekumpulan remaja di sungai itu pada kira-kira 8 malam tadi.

Polis yang dihubungi mengenai kejadian itu telah meminta unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) mengadakan operasi mencari dan menyelamat tetapi gagal menemui mangsa.

Mayat mangsa ditemui tersangkut di celah batu selepas air sungai itu surut ketika operasi mencari disambung pagi ini, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain