suria

KTMB Yakin Kad Komuter 1Malaysia Tarik Lebih Ramai Penumpang

Naib Presiden Eksekutif Perniagaan KTMB, Lt. Kol Sarbini Tijan menunjukkan Kad Komuter 1Malaysia yang diperkenalkan bagi membolehkan rakyat Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah menikmati diskaun tambang komuter sebanyak 50 peratus. Pendaftaran dan pengeluaran kad untuk orang ramai akan dibuat mulai 22 Oktober ini melalui kaunter khas KTMB yang disediakan.

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyasarkan lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan komuter selepas Kad Komuter 1Malaysia diperkenalkan.

Naib Presiden Eksekutif Perniagaan KTMB, Lt. Kol Sarbini Tijan berkata dengan kad tersebut, rakyat Malaysia yang berpendapatan bawah RM3,000 akan mendapat diskaun tambang sebanyak 50 peratus untuk perkhidmatan komuter yang digunakan.

"Apa yang kita sasarkan ialah untuk meramaikan lagi bilangan mereka yang menggunakan perkhidmatan ini.

"Keupayaan kita dalam sehari adalah tidak kurang daripada 300,000 penumpang, tapi sehingga kini penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini hanya dalam lingkungan 100,000 orang sahaja. Saya percaya dengan adanya program ini kita akan dapat meramaikan lagi mereka," katanya pada sidang media dan taklimat khas memperkenalkan Kad Komuter 1Malaysia di bangunan KL Sentral dekat sini, Khamis.

Menurut Sarbini kad diskaun yang sah dalam tempoh setahun ini diperkenalkan selaras dengan pembentangan Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sebelum ini, diskaun turut diberikan kepada pelajar, pesara dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan komuter.

Katanya, diskaun yang diberikan juga sebagai tanda sokongan KTMB kepada kerajaan dalam usaha meringankan perbelanjaan rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Lembah Klang.

"Sebagai contoh tambang bas dari Seremban untuk perjalanan sehala (ke K.Lumpur) ialah RM6.70. Naik komuter tambang biasa RM6.00. Dengan adanya kad ini tambang komuter cuma RM3.00.

"Ini bermakna mereka dapat menjimatkan sebanyak RM3.00 untuk satu perjalanan," katanya.

Sarbini berkata, KTMB juga telah bersedia menerima peningkatan penumpang dengan adanya kad ini selain merangka pelan untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada penumpangnya.

Persediaan yang dibuat termasuklah dari segi kekerapan perkhidmatan 15 minit waktu puncak dan 30 minit pada waktu biasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata kemudahan turut ditawarkan kepada pengguna dari segi syarat dan kaedah pendaftaran untuk mendapatkan kad.

"Kad Komuter 1Malaysia akan dikeluarkan serta-merta setelah borang yang telah lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan dan menepati kelayakan diserahkan di kaunter-kaunter yang disediakan.

"Setelah menulis nama dan nombor kad pengenalan di belakang kad, kad sudah boleh digunakan dengan menunjukkannya bersama kad pengenalan ketika membeli tiket komuter," katanya.

Bayaran sebanyak RM1.00 akan dikenakan untuk setiap kad yang dikeluarkan.

Sarbini menjelaskan sebanyak 20 kaunter pendaftaran dan pengeluaran Kad Komuter 1Malaysia akan dibuka di tujuh buah stesen komuter bermula 22 Oktober hingga 21 November 2012.

Stesen komuter tersebut ialah stesen KL Sentral, Kepong Sentral, Tanjung Malim, Subang Jaya, Sentul, Bangi dan Sungai Gadut.

"Kaunter khas ini beroperasi selama satu bulan setiap hari, kecuali cuti umum dari pukul 11.00 pagi hingga 8.00 malam. Selepas tamat tempoh sebulan, kad hanya boleh diperolehi menerusi kaunter KL Sentral," katanya sambil menambah diskaun hanya boleh diperolehi melalui pembelian di kaunter tiket.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web http://www.ktmb.com.my

Artikel Sebelum

Artikel Lain