suria

Kerajaan Komited Bina Rumah Mampu Milik

GEORGE TOWN: Kerajaan komited untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi golongan setinggan dan berpendapatan RM2,500 ke bawah untuk memastikan golongan itu berpeluang memperoleh rumah dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perumahan Negara (JPN) Datuk Mohamad Yusoff Ghazali berkata sehingga 31 Ogos, JPN membina sebanyak 65,550 unit rumah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) dan sebanyak 39,000 unit rumah PPR akan dibina bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10.

"Kerajaan sedar sekarang ini rumah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu harganya meningkat terutama rumah yang bernilai RM400,000.

"Kerajaan adakan pelbagai program melalui Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan JPN untuk menangani isu perumahan mampu milik ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perumahan 2012 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan kerajaan sedang menimbang untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.

Najib dalam temubualnya di radio 'Morning Boss', Melody FM pada Rabu berkata beliau telah meminta PR1MA supaya berbincang dengan pemaju swasta untuk menyediakan model kedua pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

Mohamad Yusoff berkata permohonan perumahan untuk golongan berpendapatan RM2,500 kini menjangkau lebih 500,000 di seluruh negara dan kerajaan prihatin dalam penyediaan keperluan perumahan terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya permohonan perumahan mampu milik itu boleh dibuat melalui pendaftar di bahagian perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pemilihan dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Sementara itu, mengulas mengenai Seminar Perumahan 2012, Mohamad Yusoff berkata seminar itu bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar universiti terutama pelajar tahun akhir berhubung hak mereka sebagai bakal pembeli rumah seperti yang terkandung dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Beliau berkata seminar yang menyasarkan pelajar dan warga universiti itu akan diteruskan dan diperluas kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta pada tahun depan.

Seminar anjuran JPN bersama Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM itu adalah kali ketiga diadakan selepas dianjurkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain