suria

Kase Kesal AES Diteruskan Tanpa Rundingan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) kesal dengan tindakan Kementerian Pengangkutan yang meneruskan pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata alasan bahawa AES sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kemalangan maut tidak boleh diterima.

"Bukan soal kelajuan yang menjadi punca kemalangan maut, banyak faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan maut.

"Sebab itu kita minta kerajaan tangguhkan dahulu penguatkuasaan AES ini dan buat rundingan dengan pelbagai pihak tentang pro dan kontranya sistem ini sebelum ia dilaksanakan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini Khamis.

Sementara itu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengemukakan kajian yang dibuat di beberapa bandar bahawa kelajuan bukanlah faktor utama kemalangan maut, sebaliknya sikap manusia itu sendiri.

"Kajian yang dibuat sekumpulan masyarakat awam pembayar cukai di London mendapati kadar kemalangan di negara yang mengunakan sistem AES lebih tinggi berbanding negara yang tidak menggunakannya," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri memberitahu bahawa kerajaan tidak berhasrat menangguhkan pemasangan kamera AES itu di 831 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata langkah tersebut adalah sebagai tindakan holistik kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Sistem AES beroperasi pada fasa percubaan sejak 23 September lalu dan merekodkan sebanyak 63,558 imej kesalahan lalu lintas dirakam di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain