suria

Jual Emas: Lelaki Warga Guinea Didakwa Tipu Mekanik

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Guinea mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Khamis terhadap pertuduhan menipu seorang mekanik berhubung jual beli emas dengan wang tunai berjumlah RM20,000, bulan lepas.

Sylla Baba, 41, seorang tukang masak, bersama-sama dua lagi suspek yang masih bebas, didakwa memperdayakan S. Logahendran, 27, untuk mempercayai bahawa Sylla boleh menyerahkan emas tulen dalam anggaran berat 500 gram dan menipu Logahendran supaya turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM20,000 kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Kedutaan Ghana, Ampang Hilir di sini pada 17 Sept lepas dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sylla juga menghadapi pertuduhan tidak memiliki pas yang sah untuk memasuki dan berada di negara ini di perkarangan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada 4.08 petang, 27 September lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya dan sebat.

Majistret Amal Razim Alias menetapkan 30 Nov untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain