suria

Jabatan Veterinar Lancar Garis Panduan Penyembelihan Korban

SERDANG: Sebagai langkah memastikan ibadah korban berjalan dengan sempurna dalam setiap aspek pelaksanaannya menjelang Hari Raya Aidil Adha minggu depan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) buat julung kali melancarkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Aziz Jamaluddin berkata ia disediakan sebagai panduan buat pelbagai pihak terlibat bagi tujuan penyelarasan, penyeragaman dan pengharmonian segala peraturan penyembelihan ternakan korban, supaya ibadah itu dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan tersusun.

Menurutnya ia dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor, Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya, serta beberapa pihak berkuasa tempatan; dan ia boleh dimuat turun menerusi laman web www.dvs.gov.my.

Beliau berkata garis panduan itu merangkumi undang-undang dan peraturan mengenai pemantauan ternakan korban, operasi serta premis penyembelihan, aspek kebajikan haiwan dan juga pengurusan sisa ternakan.

"Ia dibuat dengan cara yang tersusun, tambahan pula kerana sebelum ini ada isu kebajikan haiwan banyak dibangkitkan, dan isu itu digunakan oleh sesetengah pihak sebagai satu cara atau senjata bagi mereka untuk menetapkan peraturan yang lebih menguntungkan mereka," katanya dalam persidangan media selepas majlis pelancaran garis panduan itu di di Dewan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini. Difahamkan, ketika ini Australia memperkenalkan Sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengekspot (ESCAS) yang menggubal semula dasar eksport ternakan hidup dari negara itu, menyaksikan DVS masih berunding dengan MLA (Meat Livestock Australia) berhubung pelbagai peraturan mengenai eksport lembu dari negara berkenan.

Semasa dirujuk mengenai perkara itu, Abdul Aziz berkata kedua-dua pihak (pengeksport dan pengimport) saling memahami bahawa lembu dari Australia akan hanya disembelih di sini selepas rumah-rumah penyembelihan dalam negara mendapat kelulusan pihak Australia.

Beliau berkata dari aspek korban, perkara itu tidak menimbulkan banyak masalah kerana ketika ini kebanyakan lembu Australia yang dibawa masuk ke dalam negara adalah bagi tujuan ternakan fidlot.

Menurutnya bagi tujuan ibadah korban, sejak kira-kira dua bulan lepas, 20,000 ekor lembu dari Thailand sudah dibawa masuk ke dalam negara, manakala kambing yang dibawa dari luar negara menjangkau 12,000 ekor.

Beliau berkata tahun ini pemantauan lebih rapi akan diberikan kepada aktiviti penyembelihan di kawasan Lembah Klang, dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis-majlis Agama dan pihak berkuasa tempatan.

Secara umumnya bagi ibadah korban, ia perlu mempunyai Akuan Pemindahan Ternakan, sijil Kesihatan Verterinar, dan permit penyembelihan luar bagi penyembelihan selain daripada di rumah-rumah penyembelihan yang disediakan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain