suria

Isu Talam: JMM Gesa SPRM Percepat Siasatan

PETALING JAYA: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mempercepatkan siasatan berhubung isu Talam Corporation (Talam).

Presidennya, Azwanddin Hamzah mendakwa SPRM mengambil masa terlalu lama untuk menyiasat perkara itu.

Menurut beliau, JMM diberi beberapa dokumen bagi menyokobg dakwaan mereka bahawa kerajaan Selangor melakukan pemutihan hutang Talam dan beberapa kes lain.

"SPRM sama ada lambat atau masih belum membuka fail pada kes-kes tertentu," katanya, menunjukkan apa yang disifatkan sebagai "bukti baru" bahawa kerajaan Selangor bersetuju untuk mengambil alih hartanah Talam pada harga yang lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Azwanddin menunjukkan surat, kononnya dikeluarkan oleh Talam kepada pemegang saham bertarikh 15 Mac tahun lepas, bahawa kerajaan Selangor mengambil alih lapan plot tanah di Ulu Yam dan Bukit Beruntung bernilai RM361.8 juta.

Bagaimanapun, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada tahun 2009 telah membuat penilaian dan menetapkan nilai hartanah itu adalah RM90 juta sahaja.

Selain itu Azwanddin turut menuntut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan bagaimana tanda tangan Menteri Besar itu diturunkan dalam surat pengambilan hutang Talam sebanyak RM391.986 juta kepada tiga anak syarikat kerajaan negeri.

Lebih menghairankan, katanya, surat pengesahan hutang Talam untuk diambil alih oleh tiga anak syarikat itu ditandatangani pada 3 November 2009.

"Sedangkan kertas cadangan pengiktirafan hutang Talam kepada Kumpulan Hartanah Selangor Bhd., Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. dan Permodalan Negeri Selangor Bhd. bertarikh 2 November 2009,'' katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain