suria

Dua Beradik Terjun Rumah Selamatkan Diri Daripada Kebakaran

MELAKA: Sambil memeluk adiknya, seorang remaja dikatakan nekad terjun dari tingkat atas rumah mereka bagi menyelamatkan diri dalam kebakaran malam Rabu.

Akibatnya Noor Munirah Syazwani Zakir, 16, dimasukkan ke Hospital Melaka kerana cedera pada tumit kaki kirinya.

Kejadian berlaku di Taman Datuk Tamby Chik Karim di sini kira-kira 9.40 malam.

Bapa mereka Zakir Abu Hussin berkata ketika kejadian, Noor Munirah beserta adiknya Mohd Zarif Nazmi, 8, dan Yasin Amirul Aiman, 3, sedang menonton televisyen di tingkat atas apabila tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

Pada masa yang sama, adik-beradik itu terhidu bau asap di dalam rumah sebelum mendapati berlaku kebakaran di bahagian dapur, katanya.

"Anak sulung saya kemudiannya bertindak terjun dari tingkat atas sambil memeluk adik bongsunya (Yasin), sebelum menjerit meminta tolong jiran-jiran untuk menyelamatkan seorang lagi adiknya (Mohd Zarif) yang masih berada di dalam rumah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Mohd Zarif Nazmi berjaya diselamatkan jiran dengan menggunakan tangga.

Zakir berkata ketika kejadian, beliau dan isterinya sedang berniaga di kedai makan di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di sini.

Mereka bergegas pulang setelah menerima panggilan dari Noor Munirah Syazwani.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Ayer Keroh, Musa Dora berkata pihaknya menghantar dua buah jentera beserta sembilan anggota untuk memadam kebakaran, namun api terlebih dahulu dipadamkan oleh para jiran mangsa.

"Kebakaran menyebabkan kerosakan pada kabinet dapur sementara punca kebakaran masih disiasat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain