suria

Pulau Pinang Sedia Kaji Guna AES

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mengkaji penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri itu selepas mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, rundingan berkenaan perlu bagi memastikan pengunaan sistem berkenaan tidak membebankan rakyat.

"Cadangan Pulau Pinang ialah kita nak kaji dulu rancangan untuk memasang kamera ini khususnya di kawasan pemandu memandu laju...kita kena kaji dan buat rundingan dengan semua pihak.

"Dalam aspek ini kita harap kerajaan Persekutuan bolehlah adakan rundingan sebelum memasang kamera ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan selain mampu mengurangkan kemalangan maut.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan berpuas hati dengan impak kesalahan lalu lintas di kalangan pengguna jalan raya berikutan penggunaan kamera AES.

Kong berkata, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membuktikan berlaku pengurangan dalam kesalahan lalu lintas di beberapa kawasan di mana 14 kamera AES ditempatkan.

Fasa pertama pelaksanaan AES berjaya mengenal pasti 63,558 pesalah trafik setakat ini, sama ada memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain