suria

Pembeli Rumah Terbengkalai Dinasihat Tidak Guna Khidmat Ejen

KUALA LUMPUR: Pembeli rumah yang menghadapi projek terbengkalai dinasihat mendapatkan bantuan terus daripada bank yang menyediakan pinjaman, dan tidak menggunakan ejen untuk menyelesaikan masalah mereka.

Presiden Institusi Perbankan Islam Malaysia, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, langkah tersebut adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka, daripada menggunakan khidmat ejen yang akhirnya mengenakan bayaran tinggi bagi khidmat yang diberi.

“Kami mendapat tahu perkara ini berlaku dan masalahnya ialah bank terikat dengan akta bahawa kami hanya boleh berurusan dengan pengguna, melainkan mendapat kebenaran secara bertulis," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa merupakan pembeli rumah kali pertama dan ada kes, ejen mengenakan bayaran sehingga RM1,500 terhadap pengguna, walaupun masalah yang dihadapi tidak juga dapat diselesaikan.

Menurut Mohd Redza, sekiranya pengguna terbabit tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi bank, mereka boleh mengemukakan aduan secara terus kepada bank pusat atau mana-mana Persatuan Bank Islam.

“Setiap bank mempunyai prosedur standard sendiri tentang cara menangani perkara ini. Malah, sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberi, ada cara lain untuk menangani isu berkenaan, tetapi jangan menggunakan ejen.

“Bank Negara menubuhkan badan bebas seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan Biro Mediasi Kewangan untuk pengguna," katanya.

Beliau juga menasihati pengguna agar tidak hanya mengutamakan lokasi apabila membeli rumah, tetapi juga menyelidiki latar belakang pemaju kerana kebanyakan pemaju yang terlibat dengan masalah berkenaan terdiri daripada syarikat kecil yang berpejabat di Lembah Klang.

Mohd Redza, yang juga ketua pegawai eksekutif Bank Muamalat, berkata bank mengambil langkah berjaga-jaga dengan bersikap lebih memilih untuk berurusan dengan pemaju dan syarikat yang mempunyai rekod buruk, dan akan disenaraihitamkan dengan serta-merta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain