suria

Pakatan NGO Pro BN Ditubuh Bantu Kerajaan Hadapi PRU-13

KOTA KINABALU: Sebuah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) ditubuh bagi membantu Barisan Nasional (BN) dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Zulkarnain Mahdar, yang merupakan presiden gabungan NGO yang dikenali sebagai Pakatan NGO Pro BN itu, berkata lebih 50 NGO seluruh negara mengesahkan penyertaan dalam gabungan itu dengan lebih 100,000 keahlian terkumpul.

"Kami akan turun ke setiap kawasan, khususnya yang dikenalpasti sebagai kawasan hitam, untuk menyampaikan mesej-mesej kerajaan BN.

"Dalam masa sama, kami akan menyerang balas hasutan yang dibawa oleh pembangkang, khususnya di kawasan yang pernah dilawati oleh pemimpin-pemimpin mereka," katanya pada sidang akhbar mengenai penubuhan gabungan NGO itu di sini Rabu.

Zulkarnain yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Anak-Anak Sabah di Selangor, berkata Pakatan NGO Pro BN itu dijangka dilancarkan akhir bulan ini oleh penaungnya Senator Ezam Md Nor dan akan mengadakan jelajah di Sabah sebagai permulaan.

Beliau berkata, jelajah itu yang akan berterusan sehingga pilihan raya umum ke-13 juga dijangka disertai beberapa bekas anggota parti pembangkang seperti pemimpin Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Muhammad Zahid Mat Arip, presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah, bekas anggota majlis tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Ghani Haroon, anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin dan Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan.

Gabungan NGO ini tidak terikat dengan mana-mana parti politik dan dana pula diperoleh sendiri, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain