suria

Kerajaan Tidak Halang Kapal Asing Berlabuh Di Pelabuhan Sabah & Sarawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap kapal asing berlabuh dan memunggah kargo serta kontena di pelabuhan di Sabah dan Sarawak selagi proses itu mematuhi undang-undang perkapalan dan maritim yang ditetapkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata dakwaan kononnya kerajaan menghalang kapal dagang asing membawa masuk kontena dan kargo ke pelabuhan di Sabah dan Sarawak adalah tidak benar dan tidak berasas.

"Begitu juga dengan kapal yang nak bawa kargo dan kontena dari pelabuhan Sabah dan Sarawak ke pelabuhan di Semenanjung," katanya menjawab soalan Dr Hiew King Cheu (DAP-Kota Kinabalu) ketika sesi soal jawab.

Beliau menjelaskan bahawa pada 2009 kerajaan telah meliberalisasikan urusan pemunggahan di mana kapal dagang asing yang berlabuh di pelabuhan Malaysia seperti Pelabuhan Klang boleh terus memunggah kargo dan kontena di dermaga pelabuhan.

Bagaimanapun, katanya kontena dan kargo yang hendak diangkut dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain di Malaysia perlu menggunakan kapal yang berdaftar di Malaysia dan mempunyai Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah.

"Kita laksanakan ini untuk memberi keutamaan dan menyokong industri perkapalan tempatan selain bagi memastikan kapal-kapal tempatan menguasai perairan negara," katanya.

Abdul Rahim berkata jika DSL ini tidak dilaksanakan, berkemungkinan industri perkapalan tempatan akan terjejas sekiranya pemilik kapal asing mewujudkan 'cartel' yang akhirnya menguasai perairan tempatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain