suria

Kerajaan Mungkin Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap NFCorp

PETALING JAYA: Kerajaan sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perbadanan Fidlot Nasional (PFN) untuk mendapatkan kembali pinjaman mudah bernilai RM250 juta yang diberikan kepada syarikat tersebut, menurut laporan audit negara.

Difahamkan perkara tersebut telah dibincangkan diperingkat Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani serta Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji langkah seterusnya yang akan diambil terhadap syarikat berkenaan.

"Kerajaan sedang menimbangkan langkah seterusnya bagi melihat arah tuju projek berkenaan, termasuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap National Feedlot Corporation (NFCorp) dan mengambil semula pinjaman yang diberikan terhadap syarikat tersebut," menurut laporan berkenaan.

Bukan itu sahaja, projek PFN di Gemas, Negeri Sembilan sedang dikaji semula oleh kerajaan.

"Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara akan mengkaji semula arah tuju projek PFN. Sehingga kini, tiada keputusan dibuat," katanya.

Pusat fidlot tersebut diwujudkan bagi meningkatkan pengeluaran daging dan mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.

Isu mengenai PFN, yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Salleh Ismil, mula timbul selepas laporan audit negara pada 2010 melaporkan perkara tersebut.

Laporan tersebut melaporkan bahawa projek penternakan lembut itu tidak dapat memenuhi sasaran pengeluaran daging lembu yang ditetapkan oleh kerajaan.

Isu tersebut diketengahkan oleh pembangkang apabila mereka mendakwa wujud salah guna kuasa dalam dana sebanyak RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada NFCorp.

Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur telah menetapkan 5 November ini sebagai tarikh perbicaran terhadap Dr Mohamed Salleh yang didakwa atas empat kesalahan rasuah melibatkan RM50 juta wang NFCorp.

Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata dengan mendakwa NFCorp tidak menjamin bahawa pinjaman yang diberikan itu dapat dipulangkan.

Beliau mendakwa kebanyakan salah guna kuasa yang dibuat dilakukan oleh syarikat anak beranak pemilik NFCorp.

"Mengikut undang-undang, syarikat-syarikat ini tidak boleh disaman kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab atau kewajipan ke atas perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dan NFCorp,” katanya dalam kenyataan di blognya pada Selasa.

Rafizi mencadangkan agar kerajaan mengenakan jaminan peribadi terhadap isteri Dr Mohamed Salleh, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya bagi memastikan harta mereka boleh dirampas untuk mendapatkan semula pinjama mudah itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain