suria

Ejen PBPM Hadapi Empat Tuduhan Tipu Guna Nama Istana Johor

JOHOR BAHRU: Seorang ejen Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan menggunakan nama Istana Johor untuk menipu seorang pengurus syarikat membabitkan kerugian berjumlah RM36,000.

Rafizal Ahmad Razi, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Mohd Azlan Shah Allias.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November depan sebagai sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya pengurus syarikat itu sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM5,000 kononnya bagi tujuan sumbangan jersi bola sepak, di sebuah kedai di Tampoi pada kira-kira 4 petang, 26 Jun lepas.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga Rafizal didakwa menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM14,000 dan RM7,000 kononnya bagi tujuan membeli unta untuk dikorbankan di Istana Johor sedangkan perkara itu tidak wujud, di stesen minyak Petronas Mutiara Rini di Nusajaya pada kira-kira 2 petang 23 Julai lepas.

Pertuduhan keempat pula mendakwa tertuduh menerima sekeping cek bernilai RM10,000 daripada pengadu kononnya bagi tujuan membeli bendera sempena Hari Keputeraan Sultan Johor sedangkan perkara itu tidak wujud, di Mutiara Square, Taman Rini pada kira-kira 4 petang 2 Oktober lepas.

Rafizal, yang diwakili peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, didakwa mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat, dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ashraff Mohd Diah menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Bustaman Menon meminta mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM10,000 kerana Rafizal akan berkahwin bulan depan selain perlu menjaga bapanya yang kini menderita penyakit usus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain