suria

Polis Tumpas Kumpulan Samun Rumah Mewah, Tahan 10 Suspek

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki dan tiga wanita, termasuk pasangan suami isteri, yang aktif menyamun kediaman mewah sekitar Lembah Klang sejak tahun lepas, bersama pelbagai barangan serta wang tunai bernilai lebih RM150,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata kumpulan itu ditahan susulan penangkapan dua lelaki di sebuah hotel di Jalan Kuchai Maju Rabu lepas, selepas tiga hari menyamun sebuah rumah di Taman Desa di sini.

Dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah rumah yang dihuni seorang warga emas bersama cucu lelaki berusia 25 tahun sebelum melarikan sebuah kereta milik saudara mangsa dalam kejadian kira-kira 9 pagi.

"Suspek yang bergerak dengan sebuah kereta dipercayai telah lama memerhatikan rumah itu, dan selepas cucu mangsa keluar ke tempat kerja, seorang daripada mereka, yang bersenjatakan parang, menyerbu ke dalam rumah, mengugut dan merampas barang-barang berharga termasuk kereta terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Wan Abd Bari berkata hasil risikan, polis mendapati dua lelaki itu menginap di sebuah hotel sebelum serbuan dilakukan pada kira-kira 3 pagi dan menahan mereka bersama lima lelaki dan dua wanita, termasuk seorang warga Thailand, yang berusia lingkungan 20 hingga 36 tahun.

Turut dirampas dua paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin, wang tunai berjumlah kira-kira RM894, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, enam keping kad kredit, sebuah komputer riba, sebilah parang, pemotong besi dan sebilah pisau pendek, selain menemui semula kereta mangsa yang hilang bersama sebuah lagi kenderaan.

Beliau berkata siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lagi wanita, iaitu isteri seorang daripada suspek berusia 39 tahun, yang ditahan pada keesokan harinya di sebuah rumah di Taman Melawati dan dipercayai bertindak sebagai penjaga barangan yang disamun kumpulan itu.

Wan Abd Bari juga berkata modus operandi kumpulan itu adalah dengan menyasar kediaman mewah untuk dipecah masuk, dan bertindak mengugut mangsa menggunakan parang sebelum melarikan barangan berharga.

Beliau berkata polis percaya penahanan kumpulan itu membantu menyelesaikan 10 kes samun di sekitar Brickfields dan Lembah Klang.

Suspek kini ditahan reman sehingga 17 Oktober untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain