suria

Pembangkang Alu-alukan Perjanjian Damai Filipina-MILF

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang menyambut baik perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perjanjian damai itu dilihat sebagai penyelesaian positif kepada keamanan serantau.

"Pakatan Rakyat mengalu-alukan perjanjian damai yang dimeterai di Filipina, antara kerajaan Filipina dan MILF.

"Ia sebagai satu penyelesaian yang sangat baik dan positif kepada keamanan serantau dan antarabangsa. Jadi kita harapkan semua perjanjian itu dilaksnakana dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Detik bersejarah bagi memulakan proses penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro itu ditandatangani oleh wakil kerajaan Filipina, Marvic Leonen dan Ketua Perundingan Damai MILF, Mohagher Iqbal pada Isnin.

Malaysia bertanggungjawab menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lepas.

Selain itu Abdul Hadi turut berharap isu berhubung konflik perkauman yang berlaku di Rakhine, Myanmar membabitkan etnik Rohingya dapat diselesaikan secara rundingan damai.

"Kita harap ia diselesaikan secara aman dan adil, itu harapan kita. Begitu juga di selatan Thailand, kita mahu supaya keamanan wujud di selatan Thailand dengan ada pendamaian semua pihak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain