suria

Muhyiddin Tiba Di Kuwait Hadiri Sidang Kemuncak ACD

KUWAIT CITY: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) pertama yang bermula Selasa.

Ketibaan Muhyiddin yang diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada Isnin malam, disambut Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay, Duta Malaysia ke Kuwait Datuk Adnan Othman dan Duta Kuwait ke Malaysia Naser Bareh Shahir El Enezi.

Mesyuarat dua hari ACD yang mempunyai 32 anggota itu akan dirasmi Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah di Liberation Conference Building di Bayan Palace.

Pada sidang itu, Muhyiddin dijangka membentangkan cadangan Malaysia untuk terus mempertingkat dan menambah baik universiti antarabangsa Asia e University (AeU).

Sejak penubuhan ACD sedekad lalu, negara anggota mengusulkan kumpulan itu menjadi penggerak utama dalam 19 bidang kerjasama dengan Malaysia mengetuai E-Perdagangan, dana infrastruktur dan E-Pendidikan.

Kuwait dan Thailand yang mengasaskan kumpulan itu pada 2002 berharap untuk menjadikan ACD entiti kekal yang lebih besar.

Menteri luar ACD bermesyuarat pada Ahad untuk memuktamadkan dokumen yang akan dibentang pada sidang kemuncak berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain