suria

Malaysia Dan Filipina Setuju Tingkatkan Program Rakan Perkongsian

MANILA: Malaysia dan Filipina pada isnin bersetuju mempertingkatkan perkongsian produktif yang dinamik antara lain menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) dan kerjasama ekonomi dan pelancongan.

Persetujuan itu dicapai pada Mesyuarat Dua Hala Diperluaskan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina Benigno Aquino III di Dewan Presiden, Istana Malacanang di sini.

Menurut Kenyataan Bersama selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin bersetuju Manila dan Kuala Lumpur harus mengambil kesempatan daripada mekanisme dua hala, JCM, bagi mengekalkan momentum dalam rakan kongsi, membantu dalam hala tuju serta menerokai kerjasama dalam bidang berpotensi.

Dalam konteks ini, kenyataan itu menyebut mereka melihat kepada mesyuarat kelapan JCM Filipina-Malaysia yang akan dihoskan oleh Malaysia pada tahun depan.

Mengenai kerjasama ekonomi, kedua-dua pemimpin menyatakan usaha perniagaan bersama dan interaksi dipertingkatkan antara pelabur dan masyarakat peniaga kedua-dua negara dan bagi mengekalkan rentak itu, mereka meluluskan penganjuran pelaburan, pertukaran misi perdagangan dan pelaburan serta aktiviti berkaitan.

Dalam kerjasama pelancongan, kedua-dua pemimpin berkata wujud peluang sektor pelancongan yang berkembang pesat di antara dua negara itu berikutan peningkatan kecendurangan rakyat untuk mengembara dan meningkatkan penghubung antara beberapa bandar raya Malaysia dan Filipina.

Ia digalakkan dengan pertambahan bilangan syarikat penerbangan mengadakan perkhidmatan antara laluan dua negara khususnya Malaysian Airlines, Cebu Pacific, AirAsia Malaysia dan AirAsia Philippines, AirPhil Express dan tidak lama lagi syarikat Zest Air.

Kedua-dua pemimpin juga memutuskan untuk mengarahkan agensi masing-masing mempercepatkan rundingan mengenai cadangan perjanjian kerjasama dalam bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, kesihatan, maklumat, pemerdagangan tenaga kerja dan orang serta memerangi jenayah merentas sempadan.

Kenyataan tersebut menyatakan Kuala Lumpur turut mengesahkan sokongan kepada Manila dalam program sosioekonomi, merangka peluang bagi memupuk peluang ekonomi dan pekerjaan di Mindanao.

"Mereka juga menggesa ahli perniagaan Malaysia dan luar negara menimbang supaya melabur dalam sektor minyak sawit, getah asli, industri halal, infrastruktur serta bidang lain di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Dalama menyokong usaha Manila mengukuhkan keamanan dan memupuk pembangunan mampan di Mindanao, kedua-dua pemimpin juga bersetuju mempergunakan Jawatankuasa Bersama Filipina-Malaysia Mengenai Bantuan Kemajuan Sosioekonomi Penduduk Islam Filipina (JCASAMF) di bawah naungan JCM kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga meminta supaya JCASAMF mengadakan semula mesyuarat secepat mungkin bagi merangka antara lain projek atau usaha kerjasama dalam bidang pendidikan madrasah, industri halal, program menunaikan haji, perbankan Islam, program universiti berkembar serta pertukaran pelajar.

Najib juga mempelawa Aquino melakukan lawatan negara ke Malaysia pada masa yang sesuai.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa lawatan Perdana Menteri Malaysia adalah peristiwa penting dalam hubungan dua hala dan menandakan fasa baru hubungan antara kedua-dua negara yang lebih mendalam dan kukuh.

Kenyataan itu menyebut Najib memberi jamninan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Manila bagi melaksanakan kerangka perjanjian damai Bangsamoro yang dimeterai hari ini.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Kedutaan Filipina di Malaysia, menyambut baik inisiatif mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara itu.

"Kami harap pertemuan antara kedua-dua pemimpin kita akan terus membawa manfaat menerusi usaha sama rakan perkongsian dalam pelbagai bidang," kata Dutanya J.Eduardo Malaya dalam kenyataan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain