suria

Lewat Buat Laporan Kecemasan Sukarkan Operasi Mencari Dan Menyelamat APMM

KUALA LUMPUR: Lewat membuat laporan adalah antara faktor yang menyebabkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) lambat mengambil tindakan dalam operasi 'Mencari dan Menyelamat' (SAR) di sekitar perairan negara.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata faktor tersebut menyebabkan pihaknya sukar untuk mengesan kedudukan awal dan lokasi kemalangan yang berlaku terutama kes melibatkan nelayan.

"Kelewatan dalam membuat laporan juga menyebabkan operasi SAR tidak dapat dijalankan dengan pantas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar tiga hari 'Mencari dan Menyelamat' negara anggota Asean di sini.

Seminar julung kalinya itu dianjurkan oleh APMM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri mengumpulkan pegawai maritim dari 10 negara Asean serta dari China, Jepun dan Korea Selatan sebagai pemerhati.

Mohd Amdan berkata sejak APMM mengambil alih tanggungjawab sebagai agensi penyelaras SAR Maritim Kebangsaan pada 6 Jun 2006 daripada Jabatan Laut, pihaknya mengkoordinasikan 673 kes mencari dan menyelamat dan 2,610 orang daripada 3,275 orang berjaya diselamatkan.

"Manakala jumlah harta benda yang selamat kira-kira RM775 juta daripada RM825 juta," katanya.

Katanya statistik pelayaran kapal yang melalui Selat Melaka dianggarkan 70,000 kapal (tidak termasuk bot-bot kecil) setahun.

"Adalah penting bagi APMM untuk meningkatkan keupayaan operasi SAR bukan sahaja di peringkat dalam negara tetapi juga di peringkat global khasnya dengan negara-negara yang bersempadanan maritim dengan Malaysia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain