suria

Kes Samun 5 Kg Barangan Kemas: Polis Tahan Tujuh Lelaki

SHAH ALAM: Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun lima kilogram barangan kemas bernilai hampir RM700,000 daripada daripada tiga beranak di Kota Kemuning di sini, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata suspek berusia antara 30 dan 56 tahun itu ditangkap dalam operasi berasingan dari 3 hingga 12 Okt lepas dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Enam daripada mereka ditangkap di Seremban, Negeri Sembilan dan seorang di sini, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Beliau berkata empat suspek dipercayai terbabit dalam kes samun menggunakan parang pada 27 Sept itu, dua lagi disyaki melebur barangan kemas terbabit, manakala seorang dipercayai pembeli.

Polis turut menemui dua jongkong emas seberat 780 gram bernilai RM140,000 dipercayai hasil barangan kemas yang dilebur, wang tunai RM18,950 dan dua motosikal dengan sebuah dipercayai dibeli secara tunai menggunakan wang hasil samun tersebut, katanya.

Zahedi berkata polis kini memburu seorang lagi lelaki dikenali S. Kanagaraja, 26, atau Prabu, dari Taman Kelab Tuanku, Mambau, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam kejadian 27 Sept itu, empat lelaki bersenjatakan parang menyamun tiga beranak dari Seremban yang menjual barangan kemas dari rumah ke rumah.

Zahedi berkata polis percaya penjenayah telah lama memerhati dan mengekori tiga beranak berkenaan.

Mengulas kes berbeza, Zahedi meminta orang ramai di sini melaporkan kepada polis jika terlihat kehadiran lelaki Kaukasia di kawasan perumahan mereka.

Ini berikutan kejadian pecah rumah di Kota Kemuning di sini Sabtu lepas, disyaki dilakukan empat lelaki Kaukasia yang melarikan sebuah kamera dan komputer riba dengan nilai keseluruhan lebih RM10,000, katanya.

"Modus operandi mereka ialah memastikan tiada orang di rumah dengan menekan loceng pintu atau pintu pagar sebelum menyelinap masuk, mengumpil pintu dan melarikan barang-barang berharga," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain