suria

Kerajaan Pertimbang Perluas Pemberian Kad Diskaun Siswa 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbang untuk memperluas pemberian Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) kepada tiga kategori pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta pada fasa kedua.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata tiga kategori itu ialah pelajar sambilan, jarak jauh dan pelajar Malaysia di luar negara.

"Dalam fasa 1 yang pelancarannya dibuat pada 2 Julai tahun ini, kementerian menetapkan ia diberikan kepada pelajar pengajian sepenuh masa di IPT awam dan swasta seluruh Malaysia.

"Kerajaan menerima banyak cadangan agar kad berkenaan terus diperluaskan justeru dalam fasa kedua, kita akan menimbang permohonan pelajar termasuk pelajar Malaysia di luar negara agar mereka boleh menggunakan kemudahan kad itu ketika pulang ke sini semasa cuti dan mengurangkan beban belanjawan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz(BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Mohamed ingin tahu sekiranya ada cadangan untuk diperluaskan serta jumlah kad yang dikeluarkan sejak dilancarkan dan kesannya kepada mahasiswa serta para peniaga yang terlibat.

Rohani berkata melalui kad itu, pelajar akan menerima potongan harga daripada pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih bergantung kepada kadar, syarat dan terma ditetapkan rakan dagang yang mengambil bahagian.

Beliau berkata sehingga hari ini, 927,397 keping kad berkenaan sudah dicetak dan dijangka diberikan kepada semua pelajar IPTA dan IPTS selewat-lewatnya bulan ini.

Katanya, sehingga hari ini juga, 264 Rakan Dagang dari 11 sektor membabitkan 2,633 outlet telah menyertai KADS1M ini.

"Rakan Dagang termasuk 51 syarikat sektor buku dan alat tulis, pakaian kelengkapan sukan (30), klinik kesihatan (empat), optometri (15), penginapan dan pengangkutan (21), makanan dan minuman (42), pusat rawatan dan kecantikan (lapan), produk teknologi maklumat (18), automatif dan bengkel (lapan), peruncitan (tujuh) dan lain-lain yang kebanyakannya rekreasi (27)," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak menanggung sebarang kos dalam mewujudkan program kad tersebut sebaliknya inisiatif itu direalisasikan oleh Bank Rakyat yang mengeluarkan kad dan syarikat-syarikat yang menawarkan diskaun kepada para pelajar.

Katanya, logo rakan dagang yang terlibat dalam program dipaparkan menerusi portal www.1pengguna.com/kads1m. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain