suria

Jumlah Kes Jenayah Syariah Di Selangor Meningkat - Pengarah Jais

SHAH ALAM: Sebanyak 1,151 kes jenayah syariah direkod oleh Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, melebihi jumlah yang direkod sepanjang tahun lepas, kata pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin.

Beliau berkata, sepanjang tahun lepas cuma 1,077 kes direkodkan.

"Peningkatan ini merupakan satu keadaan yang sangat serius dengan kadar purata 191 kes sebulan sepanjang tahun 2012.

"Kesalahan jenayah syariah di Selangor juga dilakukan oleh pelbagai generasi tanpa mengira usia, jantina dan latar belakang pendidikan seseorang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar 'Tanggungjawab Masyarakat Dalam Menangani Jenayah Syariah' di sini, Selasa.

Marzuki berkata, jenayah syariah bukan sekadar kesalahan seperti khalwat, persetubuhan luar nikah dan lelaki berlagak seperti perempuan, malah melibatkan kesalahan berkaitan akidah seperti dakwaan palsu, kesucian agama Islam serta institusi agama Islam itu sendiri.

Beliau berkata, tanggungjawab menangani jenayah syariah tidak seharusnya dibebankan kepada penguat kuasa agama sahaja, yang turut menerima kritikan serta tohmahan ketika menjalankan tugas.

"Sebagai contoh, kes siasatan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh pihak penguat kuasa agama Jais yang dikatakan menyalahi prosedur. Apa dikesali terdapat banyak pihak mengambil kesempatan ke atas isu ini dengan menokok tambah cerita sehingga memberi kesan negatif ke atas institusi agama Islam itu sendiri," katanya.

Siasatan pada 3 Ogos tahun lepas itu dilakukan selepas Jais mendapat maklumat terdapat orang Islam menyertai majlis anjuran DUMC selain berlaku penyebaran ajaran Kristian kepada mereka di gereja tersebut.

Justeru, Marzuki berkata, setiap individu perlu mempunyai sikap 'menjaga tepi kain orang' dalam usaha membantu membendung gejala jenayah syariah di kalangan masyarakat, dengan syarat ia perlu berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, Jais juga mengambil langkah proaktif dengan memberi kuasa kepada pegawai masjid untuk bersama-sama menggunakan kuasa menangkap pihak yang melakukan jenayah syariah.

Selain itu, Marzuki berkata, ekoran kes siasatan DUMC, pihaknya kini di peringkat akhir merangka Pelan Strategik Dakwah Negeri Selangor 2013-2017, yang mengandungi 10 strategi bagi menangani masalah akidah dan memperkasa umat Islam di negeri ini.

"Pelan ini akan melibatkan semua peringkat termasuk umat Islam, warga emas, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), masyarakat bukan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita akan bentangkan draf di mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kemudian bukukannya, seterusnya kita rancang memohon perkenan Sultan Selangor untuk melancarkan pelan ini, yang dijangkakan pada awal tahun depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain