suria

Dua Ditahan, Polis Rampas Dadah Bernilai RM20,000

PORT DICKSON: Polis menahan seorang lelaki dan seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut dekat sini pada Jumaat lepas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM20,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan, Superitendan Baharom Othman berkata, polis menahan mereka dalam serbuan di rumah itu pada kira-kira 12.30 tengah malam.

"Lelaki berumur 44 tahun yang berasal dari Johor Baharu itu bekerja sebagai penjaga kedai mesin judi manakala remaja perempuan berumur 16 tahun itu berasal dari Port Dickson.

"Pemeriksaan yang dijalankan di dalam salah sebuah bilik di rumah itu menemui pelbagai jenis dadah iaitu 10 paket syabu, satu paket ketamin, satu paket ganja, 800 biji pil erimin 5 dan beberapa biji pil ecstacy serta peralatan menghisap dadah. Polis turut menemui wang tunai RM22,238 daripada suspek," katanya pada sidang media di sini Selasa.

"Kita percaya lelaki ini adalah seorang pengedar dadah yang menjalankan kegiatannya di kawasan Port Dickson dan juga di Kuala Lumpur," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya pada kira-kira 7 malam hari yang sama, polis menahan tiga lelaki berumur 20 hingga 26 tahun di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel di sini dan menemui tumbuhan kering disyaki ganja seberat lebih 500 gram dianggarkan bernilai RM2,500.

Baharom berkata, polis juga merampas 125 paket plastik heroin seberat lebih 250 gram bernilai RM13,500 dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan Sendayan, Seremban pada 10.50 pagi Sabtu lepas, dan menahan seorang lelaki berumur 50 tahun disyaki pengedar dadah di kawasan tersebut.

"Turut ditangkap 10 orang penagih berumur 23 dan 55 tahun yang datang untuk membeli dadah di situ," katanya.

Katanya, ketiga-tiga kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain