suria

Berpeluang Hadir Konvokesyen Selepas 38 Tahun Tamat Pengajian

BERSEJARAH... Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) pertama, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rasdan Baba (kiri) menyampaikan Diploma Pertanian kepada Mohd Zain Abdul Aziz, 60, yang merupakan sebahagian daripada 350 alumni generasi awal UPM yang mendapat diploma tersebut sempena Majlis Apresiasi Menteri Serdang Alumni 1974 hingga 1976 di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Serdang, Selasa. Foto BERNAMA

SERDANG: Selepas lebih 38 tahun tamat pengajian, 365 bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1974, 1975, dan 1976 akhirnya berpeluang naik ke atas pentas pada Selasa dan merasai sendiri pengalaman menerima skrol diploma masing-masing dalam majlis graduasi khas yang diadakan di UPM di sini.

Lebih manis dan menyentuh hati, skrol tersebut diserahkan sendiri oleh Naib Canselor pertama UPM iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba, yang sanggup berdiri sehingga selesai majlis walaupun dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan, sekaligus mengimbas kenangan ketika mereka belajar dahulu di bawah pimpinan tokoh terkenal itu.

Usahawan, Datuk Dr Zainul Azizan Zainul Aziz, 58, berkata beliau begitu gembira, terharu dan teruja apabila majlis seumpama itu akhirnya diadakan, dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat terutama Tuanku Canselor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana memperkenankan penganjuran majlis itu.

Pemilik Nagasteel Sdn Bhd itu berkata, walaupun tidak wujud soal kesukaran dalam melanjutkan pelajaran atau karier kerana mereka telahpun menerima diploma masing-masing secara tidak formal, namun seakan tidak lengkap apabila tidak merasai sendiri pengalaman menaiki pentas dan menerima diploma tersebut.

"Kami juga tak dapat bergambar kenang-kenangan, jadi tiada nostalgia yang dapat ditunjuk pada anak cucu," katanya kepada Bernama.

Dr Zainul Azizan berkata, kumpulan pelajar itu, yang menggelarkan diri mereka 'The Last Kopek' merupakan graduan tiga tahun terakhir Kolej Pertanian Malaya yang tidak diraikan dalam majlis graduasi atas sebab peralihan daripada kolej itu kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Beliau berkata, dalam tempoh empat tahun yang lalu, kumpulan itu berusaha keras untuk menjadikan majlis itu satu kenyataan, termasuk dengan menubuhkan lama 'facebook' mereka sendiri atas nama sama.

"Kita tidak menyalahkan sesiapa, tetapi kita hanya cuba untuk membetulkan apa yang telah diabaikan," katanya yang turut berterima kasih kepada UPM yang bertungkus-lumus menganjurkan majlis itu walaupun mereka boleh untuk menolak.

Dr Zainul Azizan pada masa sama turut menyuarakan rasa sedih apabila ada beberapa antara mereka yang telahpun meninggal dunia dan tidak sempat merasai kegembiraan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia, Datuk Mastika Junaidah Husin pula berkata, majlis itu dirasakan amat seronok apabila ia mempertemukan semula rakan-rakan seperjuangan semasa menuntut ilmu 38 tahun yang lalu.

Beliau berkata, tidak terdetik perasaan kecewa kerana tidak berpeluang merasai majlis graduasi sendiri sebelum ini, malah beliau berbangga apabila kolej itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kami percaya ada hikmah di sebalik sesuatu peristiwa, dan kami juga bersyukur apabila kolej pada waktu itu dinaik taraf," katanya.

Dalam satu kenyataan UPM berkata, daripada 365 alumni itu, 341 merupakan pemegang Diploma Pertanian, 20 merupakan pemegang Diploma Sains dengan Pendidikan, seorang merupakan pemegang Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan, seorang pemegang Diploma Sains dan dua lagi pemegang Diploma Teknologi Rumah Tangga.

Majlis yang dinamakan Majlis Apresiasi Mentari Serdang itu turut menganjurkan beberapa aktiviti lain seperti pertandingan golf, lawatan kampus, forum mengenai nosltalgia dan bacaan tahlil dan doa selamat serta majlis makan malam sepanjang dua hari penganjurannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain