suria

Tabung Haji Tubuh Pasukan Sukarelawan Bantu Jemaah Haji Tua

MAKKAH: Tabung Haji menubuhkan pasukan sukarelawan di kalangan jemaah Malaysia yang sihat dan masih muda untuk membantu melicinkan pergerakan jemaah haji semasa Hari Wukuf yang akan bermula pada 25 Oktober ini.

Pengurus Maktab 92 Ridza Mohd Zain berkata sukarelawan itu diletak di bawah program khas yang dipanggil 'Sahabat Tabung Haji' dan 'Sahabat Ibadah Haji'.

"Mereka yang mendaftarkan diri untuk memasuki program ini terdiri dari jemaah yang masih muda, kuat serta berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

"Mereka menawarkan diri untuk membantu kita, di kalangan mereka terdiri daripada cikgu, pengarah di jabatan kerajaan dan golongan profesional termasuk pelajar universiti," katanya kepada pemberita selepas pemberian jaket program itu kepada peserta di Hotel Qasr Al-Janadriah di sini Isnin.

Seramai 236 jemaah menyertai Sahabat Tabung Haji manakala 56 orang yang memiliki pengetahuan agama yang tinggi menyertai program Sahabat Ibadat Haji.

Sahabat Tabung Haji, misalnya, akan berperanan membantu jemaah lain semasa Hari Wukuf, yang bakal menyaksikan jutaan umat Islam dari seluruh dunia bersesak-sesak di Mina dan Padang Arafah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain