suria

Rayuan Terhadap Pembebasan Adun Perak Dan Tiga Lagi Ditangguh Sehingga 22 November

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menangguhkan sehingga 22 November ini untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dan tiga lagi berhubung kesalahan rasuah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Linton Albert dan Datuk Mohtarudin Baki serta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan itu selepas dimaklumkan seorang daripada peguam kes itu, Abdul Roni Abdul Rahman, terlibat dalam kemalangan di Bidor.

Perkara itu dimaklumkan peguam Surjan Singh Sidhu dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas tidak membantah penangguhan tersebut.

Abdul Roni mewakili ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, 56, bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah Zul Hassan, 50, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 34. Surjan pula mewakili bekas ADUN Bota Usaili Alias, 60.

Pada 23 April 2010, Mahkamah Sesyen Ipoh membebaskan ketiga-tiga mereka dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu daripada pertuduhan rasuah tanpa dipanggil membela diri.

Mereka didakwa melakukan 10 kesalahan menerima dan meminta rasuah berkaitan sebuah projek pembangunan perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar berhampiran Ipoh. Zul dan Fairul turut berdepan pertuduhan menerima rasuah seks.

Seorang lagi yang didakwa bersama mereka ialah bekas juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Ruslan Sahat, namun pertuduhan terhadapnya digugurkan selepas dia meninggal dunia pada 2008.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Jamaluddin, Zul dan Fairul namun memerintahkan Osman membela diri.

Mahkamah itu turut mengekalkan pembebasan Usaili daripada empat pertuduhan menerima rasuah namun memerintahkan tertuduh membela diri bagi tiga pertuduhan lagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain