suria

MB Selangor Akan Bincang Dengan Muhyiddin Kaedah Alternatif Tingkat Air Terawat

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan mengguna teknologi membran bagi merawat air untuk mengelak kekurangan bekalan pada masa depan di negeri ini.

Abdul Khalid berkata kaedah alternatif yang berdaya maju itu merupakan teknologi yang diperkenalkan sebuah syarikat Kanada boleh menambah kapasiti pengeluaran air terawat dari semua loji rawatan di Selangor.

"Teknologi membran mampu menjana sejuta liter air terawat sehari, yang sama seperti loji rawatan Langat 2 bila siap.

"Selain itu, pelaksanaan teknologi membran menelan kos tidak lebih daripada RM800 juta berbanding kos Langat 2, antara RM2.5 hingga RM3 bilion.

"Oleh itu, saya akan berunding dengan Muhyiddin berhubung cadangan ini yang setara dengan nilai wang," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan para petugas jabatan-jabatan kerajaan Negeri Selangor di sini, Isnin.

Abdul Khalid juga berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta kepada Majlis Perbandaran Klang untuk melaksanakan langkah menghadapi fenomena dikenali sebagai "Astronomical Tide" (Air Pasang Astronomi) yang dijangka menjejas daerah berkenaan mulai Isnin hingga 18 Oktober.

Mengenai hal lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri masih menunggu perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri bagi membincangkan perkara berhubung pengambilalihan Talam Corporation Bhd, penyusunan semula industri air dan senarai pengundi yang dikata meragukan.

Beliau berkata jika kerajaan negeri tidak mendapat perkenaan itu, maka semua perkara akan dibincangkan di sidang Dewan Negeri pada 19 November. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain