suria

Audit 2011: Isu PFN Belum Selesai

KUALA LUMPUR: Kontroversi projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang ditegur menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 ekoran gagal memenuhi sasaran penubuhannya masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Projek PFN dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diuruskan National Feedlot Corporation (NFCorp) milik keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merupakan antara kelemahan yang belum diambil tindakan susulan.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2011, dinyatakan bahawa kerajaan masih mengkaji dan belum memutuskan mengenai hala tuju projek ternakan lembu di Gemas itu.

"Keputusan mengenai hala tuju projek PFN ini masih lagi diteliti oleh Kementerian Kewangan dan akan dibincangkan bersama dengan Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan selanjutnya oleh pihak Kerajaan.

"Bagaimanapun keputusan mengenai hala tuju projek ini masih belum diputuskan oleh kerajaan," kata Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Isu-isu dan kontroversi dalam PFN timbul berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober tahun lalu yang menyatakan bahawa projek itu gagal memenuhi sasaran penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa terdapat penyelewengan dalam pengurusan dana berjumlah RM250 juta oleh NFCorp.

Selain itu Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut menyatakan kerajaan berusaha untuk mendapatkan semula pinjaman yang diberikan kepada NFCorp.

"Pihak Kerajaan telah mengambil beberapa langkah mengkaji semula hala tuju projek ini di samping mengkaji kemungkinan mengambil tindakan sivil terhadap NFCorp dan mendapatkan semula pinjaman yang telah diberikan kepada syarikat tersebut.

"Beberapa siri perbincangan telah pun diadakan oleh pihak Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama dengan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti tindakan-tindakan sesuai yang boleh diambil oleh Kerajaan terhadap NFCorp," katanya.

Projek PFN termasuk antara 74 kelemahan yang belum selesai diambil tindakan susulan setelah menerima teguran daripada Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Jabatan Audit Negara komited membantu agensi kerajaan dengan memantau kelemahan yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 hingga 2010 dengan mengemukakan sejumlah 721 syor yang merangkumi 174 syor pada tahun 2008, 250 syor pada tahun 2009 dan 297 syor pada tahun 2010.

"Semakan susulan yang dijalankan terhadap syor tersebut mendapati setakat 30 April 2012, agensi yang terlibat telah mengambil tindakan susulan terhadap kesemua 174 syor bagi tahun 2008, 244 (97.6%) syor bagi tahun 2009 dan 223 (75.1%) syor bagi tahun 2010.

"Sehubungan itu pihak yang terlibat digesa untuk mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan kelemahan yang dibangkitkan dengan melaksanakan syor yang telah diberi oleh Jabatan Audit Negara," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain