suria

368 Dianugerahkan Darjah, Pingat Melaka

MELAKA: Seramai 368 menerima anugerah Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi ke-74 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob Sabtu.

Pengurniaan darjah, tauliah, bintang dan pingat itu disempurnakan Mohd Khalil di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh Ahad.

Lima penerima dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka, yang membawa gelaran Datuk, iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Dr Abdullah@Zakaria Ghazali; Pengarah Kastam Diraja Malaysia Melaka Datuk Mohd Nasir Said; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Seksyen Pembangunan Wilayah Jabatan Perdana Menteri Razali Che Mat; Naib Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Zubir Embong dan Pengarah Eksekutif Ultra Green Sdn Bhd Loh Kian Chong.

Seramai 46 penerima dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka, yang turut membawa gelaran Datuk, manakala Darjah Seri Melaka dan Jaksa Pendamai dianugerahkan masing-masing kepada 18 penerima.

Sementara itu, seramai 30 orang menerima Bintang Cemerlang Melaka, Bintang Khidmat Terpuji (54), Pingat Jasa Kebaktian (101), Pingat Bakti Masyarakat (84) dan Pingat Khidmat Lama (12).

Dua pengamal media iaitu Ketua Biro Melaka akhbar The Star R.S.N Muralitharen dan Penolong Pengarang akhbar Melaka Hari Ini Misrom Matleham masing-masing menerima Bintang Khidmat Terpuji dan Pingat Jasa Kebaktian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain